Nasser sebagai Presiden Mesir Gamal_Abdel_Nasser

Walaupun beliau tidak berpengalaman sebagai seorang perdana menteri, pengalamannya sebagai seorang anggota tentera telah berjaya menempa namanya sebagai seorang tokoh arab yang terkemuka di dunia. Kejayaannya yang pertama adalah apabila beliau berjaya berunding dengan tentera British untuk berundur daripada Zon Terusan Suez. Selepas itu pada Julai 1956, beliau telah menasionalisasi terusan Suez yang mengakibatkan krisis Suez di mana Mesir terpaksa berhadapan dengan pihak Perancis, British dan Israel yang mempunyai kepentingan terhadap terusan itu. Krisis ini berakhir dengan keputusan dunia antarabangsa yang menyebelahi Mesir. Kejayaan demi kejayaan ini telah membangkitkan semangat nasionalisme Arab sehingga Syria memohon untuk bersatu dengan negara Mesir. Hasilnya pada Februari 1958, Republik Kesatuan Arab telah diwujudkan dengan Nasser sebagai Presiden dan Perdana Menterinya. Kesatuan ini telah wujud sehinnga 1961 apabila Syria berpisah daripada kesatuan tersebut.

Sewaktu pemerintahanya, Mesir telah menyaksikan pembangunan yang pesat. Antara lain termasuklah projek infrastruktur besar-besaran seperti projek Empangan Aswan dengan bantuan pemerintah Kesatuan Soviet. Beliau juga memperbaiki sistem pendidikan serta perubatan di Mesir. Selain itu beliau terkenal dengan dasar keadilan sosialnya terutamanya dalam pengagihan tanah.

Salah satu dasar luar negeranya adalah untuk tidak mengiktiraf kedaulatan negara Israel. Akibat ketegangan Syria-Israel pada awal 1967 beliau terpaksa bercampurtangan disebabkan perjanjian pertahanan dengan Syria. Ini telah mencetuskan Peperangan Enam Hari dengan Israel yang berakhir dengan kekalahan Mesir. Akibat peperangan ini Israel telah menambahkan wilayahnya sebanyak tiga kali ganda dan menduduki beberapa wilayah di Mesir seperti Semenajung Sinai. Kekalahan ini merupakan tamparan yang hebat kepada Nasser sehinggakan beliau ingin menarik diri sebagai Presiden. Namun rakyat Mesir telah membantah. Gamal Abdel Nasser sekali lagi mengetuai rakyat Mesir dalam Peperangan Berlanjutan 1969-1970.